Ada juga yang mengatakan 22 Februari hari pembubaran Parlimen, 16 Mac hari penamaan calon dan 30 Mac, pengundian berlangsung.
Ahad, 20 Mac lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak
dilihat berada di Ibu Pejabat BN bersama-sama beberapa pemimpin kanan
Umno, dikatakan mendengar taklimat akhir dari “war room” Umno, mengenai
calon-calon Umno.
Beberapa hari sebelum itu, Najib selaku Pengerusi BN mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di PWTC.
Semua Presiden parti-parti komponen dikatakan sudah menyerahkan senarai calon kepada Najib sejak dua bulan yang lalu.
Pengerusi-Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri dikatakan
turut berbuat demikian, sebulan yang lalu dan Najib dikatakan sudah
meneliti kesemua senarai calon yang diserahkan, dengan sedikit pindaan
dibuat di saat-saat akhir.
Khabarnya, BN mempunyai keyakinan
penuh memenangi semula PRU13, berdasarkan rekod dan akujanji semua
parti-parti komponen BN.Satu sumber yang rapat dengan Umno Selangor
memberitahu, Najib sebenarnya mahu membubarkan Parlimen hujung 2012 yang
lalu.
Namun, bimbang beberapa negeri yang dikuasai Pakatan
Rakyat (PR) tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) masing-masing,
menyebabkan Najib dinasihatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya
membawa tarikh pembubaran ke penghujung hayat Parlimen dan Dun bagi
membolehkan Parlimen dan Dun terbubar sama.
Najib selaku
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, khabarnya ingin sangat
melihat Selangor ditawan semula oleh BN, meskipun dengan majoriti
mudah
Walaupun BN tidak yakin dapat berbuat apa-apa dengan Pulau
Pinang dan Kelantan, tetapi mereka amat-amat berharap menang semula di
Kedah, selepas Selangor.
Masalah yang Umno-BN hadapi sekarang,
krisis dalaman di peringkat bahagian-bahagian. Di Wangsa Maju, MCA
sudah melahirkan rasa kecewanya dengan sikap kepimpinanan Umno bahagian
itu yang memonopoli pembahagian Bantuan Awal Persekolahan RM100.
Di Gombak, MIC kecewa dengan sikap Ketua Umno Bahagian yang cuba
mengganggu Penyelaras Dun Batu Caves dalam menyampaikan bantuan serupa.
Khabarnya, Najib buntu dengan perkembangan tidak sihat ini tetapi
beberapa orang kepimpinan bahagian yang ditanya mengenai isu tersebut
memberitahu, Najib sendiri mempunyai masalah dengan pendedahan tauke
permaidani Deepak Jaikeshan, sepatutnya tidak sibuk mahu menyelesaikan
masalah dalaman peringkat bahagian, sebaliknya membersihkan namanya dan
isterinya di mata umum.
Perbalahan berterusan antara bekas
Presiden MCA, Dato’ Seri Ong Tee Keat dengan Presiden sekarang, Dato’
Seri Dr Chua Soi Lek juga cukup memberi tekanan kepada jentera MCA di
semua peringkat.
Jentera MCA sedar, terlalu sukar bagi mereka
untuk menarik sokongan daripada pengundi Cina kerana kedudukan ekonomi
masyarakat Cina sudah tidak memerlukan mereka bergantung bantuan
daripada pihak kerajaan.
Malahan, parti-parti politik yang bergabung dalam BN masih mengharapkan bantuan kewangan dari tauke-tauke Cina.
Berbeza dengan masyarakat India, sebahagian besarnya masih bergantung
kepada bantuan Kerajaan BN yang memudahkan MIC menarik mereka untuk
memberi sokongan kepada BN.
Berbeza dengan PPP, Gerakan, MCA, MIC
dan lain-lain parti komponen BN, Umnolah parti yang paling sukar untuk
memutuskan siapa yang patut dicalonkan kali ini.
Isu yang
mereka bangkitkan, ada calon-calon yang sudah terlalu lama patut
digantikan, tetapi tiada siapa yang dilihat mampu mengambil tempat
orang lama ini, kerana tidak berjawatan di peringkat bahagian.
Amaran dikeluarkan oleh kepimpinan Umno, bahawa sesiapa yang mensabotaj
parti dan calon dalam PRU13 akan datang akan dikenakan tindakan, tidak
sedikit pun menjadi halangan untuk mereka yang gagal mendapat tempat,
untuk melakukannya.
Najib sedar, jika Umno tewas kali ini
bermakna, berakhirlah riwayat parti Melayu yang ditubuhkan sejak 1946
oleh Allahyarham Dato’ Onn Jaafar.
Itu sebabnya, Najib
bermati-matian mahu mempertahankan kerajaan yang ada dan sering
mengingatkan ahli-ahli Umno bahawa inilah pilihan raya yang paling
kritikal dan penentu antara hidup atau mati Umno.
Najib tidak
mahu keputusan PRU13 sama seperti keputusan PRU12 kerana beliau mungkin
disentap turun dari kerusi Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Beliau juga bimbang, ditangan beliau, BN dan Umno tumbang seperti mana
yang pernah berlaku kepada Dr Mohamad Khir Toyo di Selangor; Tan Sri
Mohamad Tajol Rosli Ghazali di Perak; Dato’ Seri Mahdzir Khalid di
Kedah; Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Gerakan) di Pulau Pinang dan 22 tahun
yang lalu, Allahyarham Tan Sri Mohamad Yaakob di Kelantan.
Najib
nampak apa yang berlaku di Kelantan, apabila Umno tumbang, hasrat
untuk mendapatkan semula tampuk kuasa “macam menunggu kucing
bertanduk”.
“1 Juata Himpunan Kebangkitan Rakyat” (HKR112) yang
berlangsung baru-baru ini cukup mengejutkan Najib kerana selama ini
beliau merasakan program transformasi yang dilakukannya sudah diterima
rakyat.
Tetapi apabila melihat begitu ramai datang berhimpun di
Stadium Merdeka, Najib tahu “barang jualannya” bernama “1Malaysia”
tidak laris di pasaran.
Malahan, boleh dikatakan tidak diterima di pasaran terbuka, kecuali dibeli oleh orang-orang Umno yang berkepentingan.
Masa untuk melewat-lewatkan lagi PRU13 sudah sampai ke garisan
penamat. Najib tidak mempunyai banyak ruang untuk pergi lebih jauh.
Apa yang boleh, terus menabur janji, termasuk tujuh projek besar di
Kelantan, ketika kunjungannya ke sana, 20 Januari yang lalu.
Pembinaan Lebuhraya Kuala Krai-Kota Bharu bukan cerita baru. Rakyat Kelantan sudah tahu ia suatu pembohongan nyata.
Membina masjid terbesar sebagai ikon; 3,000 unit Program Perumahan
Rakyat; Kampus Bandar UiTM yang boleh memuatkan 5,000 pelajar; Sistem
Pengangkutan Rapid Kota Bharu; membina stadium baru dan menangani
masalah air, diterima rakyat dengan hati terbuka.
Namun, rakyat
tahu parti mana yang boleh mereka sokong bagi menjamin pentadbiran yang
bersih, telus, bebas rasuah dan tidak menganiayai rakyat.
Di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat, Kelantan terus membangun bersama Islam yang begitu disegani kini.
Silalah! Bubarkan Parlimen dan rakyat akan membuat pilihan selepas mereka menilai segala-galanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan